Monday, June 7, 2010

...Lesen runcit barangan kawalan diberi percuma...

Kerajaan memutuskan lesen runcit barangan kawalan yang akan diwajibkan kepada semua peniaga yang menjual gula, tepung gandum dan minyak masak akan diberikan secara percuma.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pendaftaran lesen itu akan diluluskan dalam tempoh sehari sebelum dikuatkuasakan pada 1 Julai depan. Beliau berkata, keputusan terbabit dibuat hasil perbincangan antara Gabungan Persatuan Barang-barang Runcit Malaysia dengan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Zin Mohd Dom, Jumaat lalu.“Jika sebelum ini, kita menetapkan bayaran RM10 bagi lesen berkenaan kepada peruncit, namun selepas mengambil kira pandangan semua pihak, lesen terbabit akan diberi secara percuma.

“Melalui perbincangan, persatuan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menerima dasar pelesenan runcit barang kawalan terbabit, malah kita juga bersedia melonggarkan prosedur permohonan lesen,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Peruntukan Khas Ahli Parlimen Bera, di sini, semalam.

Menjelaskan lebih lanjut, Ismail Sabri berkata, prosedur pelesenan yang dipermudahkan itu termasuk memberi kelonggaran kepada persatuan memohon lesen runcit bagi pihak ahli.

“Malah kementerian juga mendapat kerjasama Pejabat Daerah untuk mengeluarkan lesen runcit selain pegawai KPDNKK akan turun padang bagi mengeluarkan lesen kepada peruncit di kawasan pedalaman.
“Untuk permohonan lesen itu nanti, peruncit hanya perlu mengemukakan dokumen pendaftaran syarikat mereka,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga tidak akan memaksa peruncit yang tidak berminat atau tidak mahu mendapatkan lesen terbabit.

“Siapa yang tidak mahu lesen ini, tidak perlu ambil tapi mereka perlu ikut undang-undang dengan tidak menjual barang kawalan terbabit di premis mereka.
“Kita juga akan bertegas dengan memastikan bekalan barang kawalan ini tidak dihantar kepada peruncit yang tidak mempunyai lesen,” katanya.

Ismail Sabri berkata, penguatkuasaan lebih ketat juga akan dilakukan di premis peruncit bagi mengelakkan berlaku penyelewengan.

“Bagi peruncit yang mendapat lesen runcit berkenaan, mereka akan diminta menyediakan buku stok yang mencatatkan jumlah keluar dan masuk barangan kawalan terbabit.

“Kita mahu peruncit lebih telus dan jujur serta tidak menyimpan atau menyembunyikan stok barang kawalan,” katanya.

Beliau berkata, peruncit yang masih berdegil dengan menjual barang kawalan tanpa lesen akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946.

No comments:

Post a Comment