Tuesday, June 29, 2010

"Hookah" atau "Shisha" tidak selamat digunakan


Menghisap "hookah" atau turut dikenali dengan nama lain seperti shisha, water pipe, ghalyan, dan okka, akan membawa risiko kesihatan yang sama seperti merokok atau penggunaan produk tembakau yang lain.

Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek berkata oleh sebab itu "hookah" bukanlah alternatif atau gantian kepada perbuatan menghisap rokok.
Katanya asap tembakau yang keluar dari balang air "hookah" sebenarnya mengandungi toksin yang boleh menyebabkan penyakit paru-paru, penyakit jantung dan penyakit merbahaya yang lain.

"Penggunaan "hookah" kini semakin popular dalam negara, terutama di kalangan golongan belia kawasan bandar, dan buat masa ini masih belum ada kajian berhubung penggunaan "hookah" di Malaysia.

"Bagaimanapun, secara amnya, "hookah" dihidangkan kepada pelanggan di gerai makan, restoran, hotel dan kelab tertentu di bandar besar," katanya ketika menjawab soalan Loh Seng Kok (BN-Kelana Jaya) berhubung kesan kesihatan akibat penghisapan "shisha" dengan menggunakan "hookah" dan pemipit.

Bernama melaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan baru-baru ini menegaskan "hookah" adalah tidak selamat untuk digunakan dan boleh mengakibatkan risiko kesihatan yang khusus.

Chua berkata kajian juga mendapati bahawa pengguna "hookah" pada setiap satu masa biasanya akan menghisap asap tembakau dari alat ini dalam tempoh lebih lama berbanding menghisap sebatang rokok.

Beliau berkata menurut kajian itu juga, penghisap rokok akan menyedut lapan hingga 12 kali sedutan dalam masa lima hingga tujuh minit dengan 0.5 hingga 0.6 liter asap disedut.

Menurutnya penghisap "hookah" pula menyedut 50 hingga 200 kali sedutan dalam mas 20 hingga 80 minit yang dianggarkan sebanyak 0.15 hingga satu liter asap akan disedut.

Dr Chua berkata bahan panas yang digunakan untuk membakar tembakau terdiri daripada bara kayu atau arang yang dilihat boleh meningkatkan risiko kesihatan kerana proses pembakaran menghasilkan bahan toksik tersendiri termasuk paras karbon monoksida yang tinggi, logam dan kimia yang boleh menyebabkan kanser.

Tambahnya, perbuatan berkongsi paip penyedut juga boleh membawa risiko jangkitan penyakit berjangkit termasuk "tuberculosis" dan hepatitis .

Thursday, June 10, 2010

penipuan di internet semakin berleluasa

MEMBELI-BELAH secara online bukanlah perkara baru bagi pengguna pada era ini kerana laman web jual beli seperti eBay, Lelong dan Mudah seakan-akan sudah sinonim dengan ramai pengguna Internet di negara ini.

Namun, sejauh mana pula ketelusan keselamatan pembelian secara online itu sehingga mencetuskan rasa bimbang di kalangan kebanyakan pengguna? Ketika ada pengguna yang bimbang dengan isu keselamatan itu tapi tidak pula mengambil pendekatan sewajarnya, ada pula segelintir manusia pandai mengambil kesempatan di atas kealpaan itu.

Ia turut dikaitkan dengan kehidupan sosial masyarakat, apatah lagi dengan wujudnya laman sosial seperti Facebook, MySpace dan Friendster yang menjadi antara penyumbang wujudnya pelbagai gejala sosial di Internet.

Malah, penipuan itu turut berakhir di luar yang menyaksikan ramai wanita terjerat dengan pelbagai jenis penipuan.

Aspek keselamatan online bukanlah perkara baru yang perlu diperkatakan kerana media massa banyak melaporkan kegoyahan keselamatan yang mengancam hak peribadi orang ramai.

Buktinya, 1,191 kes penipuan membabitkan wang berjumlah RM1 juta dipindahkan melalui perbankan Internet dalam tempoh enam bulan pertama 2009.

Pusat Keselamatan Siber Malaysia pula mengandaikan penipuan melalui Internet dijangka terus meningkat berdasarkan kepada statistik semasa yang menunjukkan berlakunya peningkatan dari setahun ke setahun.


Kedua-dua aspek berkenaan menyingkap masalah penipuan perbankan Internet yang dianggap semakin menjadi-jadi seiring dengan perkembangan teknologi semasa.


Antara gejala paling popular adalah 'phishing' yang mencuri butir peribadi pengguna termasuk nama log masuk dan kata laluan.


Penipuan sindiket Nigeria, penipuan loteri, pelaburan Internet dan skim piramid yang menyebabkan pengguna mengalami kerugian berikutan maklumat peribadi yang terdedah kepada penjenayah siber.


Kerugian bukan saja dialami pengguna, malah pihak institusi kewangan turut terkena tempias sekiranya penipuan terbabit berlaku di pihak mereka.


Penulis cuba mendapatkan komen dan nasihat institusi kewangan mengenai kes yang banyak diperkatakan ini, namun hampa kerana kurang mendapat kerjasama kerana mereka bimbang hilang kepercayaan pelanggan.


Jurucakap Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, kerugian menerusi penipuan Internet bank dikenal pasti menyumbang sebanyak 0.00002 peratus daripada jumlah transaksi menerusi Internet mana-mana bank pada 2008.


Merujuk kepada masalah global hari ini, phishing masih dikategorikan sebagai pengancam utama kepada industri perbankan Internet di Malaysia iaitu sebanyak 94 peratus aduan diterima. Usaha berterusan diambil semua bank di Malaysia bagi mengatasi masalah penipuan perbankan Internet seumpama ini.


Pada 2004, Internet Banking Taskforce (IBTF) dilaksanakan BNM bagi mewujudkan industri perbankan yang tersusun, bijak dan bekerjasama dengan agensi berkaitan agar mampu mengawal masalah keselamatan perbankan Internet.

IBTF yang diwakili agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pusat Keselamatan Siber Negara (Cyber Security) serta bank di seluruh Malaysia, berusaha mencari penyelesaian dalam mengatasi isu keselamatan perbankan Internet, namun pada masa sama sentiasa memberi kesedaran dan maklumat semasa kepada pelanggan bank agar berhati-hati dengan pelbagai taktik penipuan.

Malayan Banking Berhad (Maybank) antara bank ternama di negara ini giat memantau dan sentiasa bekerjasama dengan pelanggannya agar berhati-hati dengan penipuan perbankan Internet.

Pihak Maybank mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon daripada bank meminta pelanggan mengemas kini kata laluan dan nama pengguna atau memberi maklumat 'transaction authorisation code' (TAC).

Pelanggan dinasihatkan agar tidak mendedahkan sebarang maklumat dan pihak bank sama sekali tidak akan berurusan dengan pelanggan dengan meminta maklumat berkaitan.

Sekiranya pelanggan diperdayakan dan memberi maklumat terbabit menerusi telefon atau pelanggan klik sebarang 'link' di dalam e-mel, pelanggan perlu memaklumkan secepat mungkin kepada pihak bank bagi tujuan keselamatan.

Mesej amaran seperti Amaran Polis, masalah teknikal pengeluaran wang atau masalah sistem perbankan Internet sama sekali TIDAK akan dihantar oleh pihak bank menerusi e-mel kerana pihak Maybank hanya memberi amaran kepada penggunanya menerusi gerbang Maybank2u.com.

Ketua Pegawai Teknologi DigiCert Sdn Bhd, Ami Azrul Abdullah, berkata keselamatan akaun bank pelanggan hari ini terletak kepada kebijaksanaan pelanggan itu sendiri.

"Isu mengenai e-mel palsu serta phishing bukanlah perkara baru di negara kita. Pelanggan seharusnya memahami polisi pihak bank dan tidak sewenang-wenangnya membocorkan maklumat sendiri kepada sesiapa pun.

"Pihak bank sentiasa peka dalam melindungi pengguna agar kepercayaan pelanggan tidak terjejas dengan perkhidmatannya. Maka, bank mengguna pakai ciri keselamatan berdasarkan garis panduan BNM iaitu PIN dan biometrik," katanya.

Menurutnya, sebagai pengeluar alat keselamatan berteknologi, bank terkemuka seperti CIMB dan Maybank mengguna pakai token USB dan kad pintar bagi menghindari berlakunya kecurian di dalam akaun pengguna.

"Di bawah Akta Tanda Tangan Digital 1997, DigiCert mengeluarkan produk keselamatan yang dibekalkan kepada institusi kewangan, badan berkanun, pihak swasta dan kerajaan yang bertujuan melindungi pihak terbabit bagi sebarang perkara yang berkaitan dengan digital.

"Bersesuaian dengan akta ini, DigiCert masih dalam penyelidikan untuk mengeluarkan sijil digital yang bakal dikembangkan menerusi aplikasi dalam telefon yang bertujuan untuk melindungi orang ramai," katanya.

Ami Azrul turut menasihati orang ramai agar sentiasa mengguna pakai perisian antivirus, antispyware dan firewall yang sentiasa dikemas kini di samping mengikuti perkembangan semasa mengenai penipuan perbankan Internet yang sering terjadi.

Usaha dan penilaian perlu dilakukan berterusan bagi memantau keselamatan pengguna perbankan Internet seperti menyekat terus alamat e-mel palsu yang menggunakan nama bank, sistem keselamatan tandatangan digital di laman web perlu ditingkatkan lagi dari segi penggunaan kod PIN dan soalan untuk 'hint' kata laluan seperti "Apakah nama ibu anda?, "Apakah makanan kegemaran anda?" atau "Apakah rancangan TV kegemaran anda?". Ia dianggap antara soalan lazim dan mudah diteka. Oleh itu, perlunya perubahan yang lebih bersifat pemikiran yang kritis.


PENGGUNA HARUSLAH SEDAR BAHAWA APA YANG MEREKA LAKUKAN AKAN MENGUNDANG KEBURUKAN KEPADA DIRI MEREKA SENDIRI....

Monday, June 7, 2010

...Lesen runcit barangan kawalan diberi percuma...

Kerajaan memutuskan lesen runcit barangan kawalan yang akan diwajibkan kepada semua peniaga yang menjual gula, tepung gandum dan minyak masak akan diberikan secara percuma.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pendaftaran lesen itu akan diluluskan dalam tempoh sehari sebelum dikuatkuasakan pada 1 Julai depan. Beliau berkata, keputusan terbabit dibuat hasil perbincangan antara Gabungan Persatuan Barang-barang Runcit Malaysia dengan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Zin Mohd Dom, Jumaat lalu.“Jika sebelum ini, kita menetapkan bayaran RM10 bagi lesen berkenaan kepada peruncit, namun selepas mengambil kira pandangan semua pihak, lesen terbabit akan diberi secara percuma.

“Melalui perbincangan, persatuan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menerima dasar pelesenan runcit barang kawalan terbabit, malah kita juga bersedia melonggarkan prosedur permohonan lesen,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Peruntukan Khas Ahli Parlimen Bera, di sini, semalam.

Menjelaskan lebih lanjut, Ismail Sabri berkata, prosedur pelesenan yang dipermudahkan itu termasuk memberi kelonggaran kepada persatuan memohon lesen runcit bagi pihak ahli.

“Malah kementerian juga mendapat kerjasama Pejabat Daerah untuk mengeluarkan lesen runcit selain pegawai KPDNKK akan turun padang bagi mengeluarkan lesen kepada peruncit di kawasan pedalaman.
“Untuk permohonan lesen itu nanti, peruncit hanya perlu mengemukakan dokumen pendaftaran syarikat mereka,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga tidak akan memaksa peruncit yang tidak berminat atau tidak mahu mendapatkan lesen terbabit.

“Siapa yang tidak mahu lesen ini, tidak perlu ambil tapi mereka perlu ikut undang-undang dengan tidak menjual barang kawalan terbabit di premis mereka.
“Kita juga akan bertegas dengan memastikan bekalan barang kawalan ini tidak dihantar kepada peruncit yang tidak mempunyai lesen,” katanya.

Ismail Sabri berkata, penguatkuasaan lebih ketat juga akan dilakukan di premis peruncit bagi mengelakkan berlaku penyelewengan.

“Bagi peruncit yang mendapat lesen runcit berkenaan, mereka akan diminta menyediakan buku stok yang mencatatkan jumlah keluar dan masuk barangan kawalan terbabit.

“Kita mahu peruncit lebih telus dan jujur serta tidak menyimpan atau menyembunyikan stok barang kawalan,” katanya.

Beliau berkata, peruncit yang masih berdegil dengan menjual barang kawalan tanpa lesen akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946.

Sunday, June 6, 2010

...Pemaju & Anda: Tahukah Anda?...

Tahukah anda bahawa anda layak menuntut gantirugi sebanyak 10% drpd harga rumah jika Pemaju anda lewat siapkan rumah anda?

Tahukah anda bahawa anda juga layak menuntut gantirugi daripada Pemaju jika Pemaju lambat dapatkan CFO rumah anda?

Tahukah anda Pemaju kena siapkan rumah anda dlm masa 24 bulan, jika tidak, anda berhak tuntut gantirugi daripada Pemaju.

Tahukah anda, walaupun rumah anda dah siap, kunci dah dapat dan CFO pun dah dapat, anda masih lagi layak menuntut gantirugi daripada Pemaju jika rumah anda tak siap dlm masa 24 bulan..

Tahukah anda bahawa Pemaju kena baiki kerosakan rumah anda dengan kos Pemaju sendiri selama 24 bulan daripada tarikh serah kunci? Jika tidak, anda layak tuntut gantirugi terhadap Pemaju anda…

Tahukah anda Pemaju hanya boleh serah kunci rumah anda jika rumah anda telah disahkan siap oleh Arkitek dan Pemaju sudah memohon mendapatkan CFO? Jika tidak anda layak tuntut gantirugi terhadap Pemaju..BERAPA BANYAK BOLEH TUNTUT? 10% DARIPADA HARGA RUMAH !! BANYAK KAN?

JGN BIARKAN PEMAJU MEMPERMAINKAN ANDA ! AYUH ! TUNTUTLAH HAK ANDA !!

Saturday, June 5, 2010

...cubaan menyeludup gula...

cubaan menyeludup gula ini dapat ditumpaskan oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor. sebanyak kira-kira 4.8 tan gula di sebuah stor berlesen dekat Kampung Bendang Pak Yong telah dirampas. ia dipercayai untuk dijual ke negara jiran. aktiviti ini berjaya di tumpaskan oleh pihak berkuasa diatas laporan yang dibuat oleh penduduk akibat ketiadaan bekalan gula selama 2 minggu.

Thursday, June 3, 2010

kadar faedah sewa beli kereta naik?????

Penyataan di atas adalah betul..KADAR faedah pinjaman sewa beli kenderaan akan dinaikkan antara 0.1 peratus dan 0.25 peratus berkuat kuasa Isnin ini sejajar kenaikan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia......kenaikan ini Berkuat kuasa pada 7 Jun 2010, kadar faedah pinjaman sewa beli bagi kereta nasional baru dinaikkan 0.1 peratus, manakala bagi kereta bukan nasional baru pula, dinaikkan pada kadar 0.25 peratus.
Secara umumnya, bagi pinjaman sewa beli kereta nasional baru bagi tempoh sembilan tahun kadarnya akan dinaikkan kepada 4.1 peratus; tujuh tahun kepada kepada 4.0 peratus dan lima tahun kepada 3.85 peratus.
Bagi kereta bukan nasional, bagi sewa beli dengan tempoh sembilan tahun, kadarnya dinaikkan kepada 3.85 peratus; tujuh tahun kepada 3.75 peratus dan lima tahun kepada 3.5 peratus....

Tuesday, June 1, 2010

...Kempen ‘Minggu Tidak Menonton Televisyen’ patut disambut baik...

KETIKA ini pelbagai masalah sosial membabitkan remaja dan ia mencengkam masyarakat kita. Kes pembuangan bayi, merokok, merempit, menagih dadah, seks bebas, vandalisme, lari dari rumah dan macam-macam lagi salah laku jenayah cukup merisaukan semua pihak.


Ternyata ibu bapa dilihat semakin hilang kawalan terhadap anak yang semakin liar. Mereka juga menghadapi masalah mendidik dan membentuk anak menjadi manusia berguna mengikut acuan dikehendaki.

Terkini polis Kuala Lumpur mendedahkan, 3,263 pelajar sekolah ditahan tahun lalu kerana terbabit dalam 2,003 kes salah laku. Pelajar berusia antara 13 dan 18 tahun dilaporkan turut terbabit dalam kes seks bebas, kehamilan, pembuangan bayi, rogol, samun dan mencuri motosikal.

Statistik ini dikatakan semakin meningkat tiap tahun cukup untuk membuktikan tahap masalah sosial remaja kita. Golongan yang sepatutnya menjadi harapan masa depan negara ini dilihat semakin hanyut dek dunia bebas tanpa sempadan.

Antara punca masalah sosial melanda remaja dan belia ialah pengaruh negatif rancangan televisyen yang boleh dikategori sebagai kurang sihat. Televisyen yang sentiasa menjadi medium panduan dan pendidikan mula menguasai minda dan pemikiran anak kita dengan nilai yang jauh bertentangan dengan adat ketimuran yang kemudian mempengaruhi segala tingkah laku dalam kehidupan seharian.

Adegan pergaulan tanpa batasan dan seks bebas serta perlakuan ganas seperti gengsterisme dipaparkan dalam televisyen sama ada menerusi drama dan filem tempatan mahupun Barat boleh diibaratkan menjadi ‘guru’ kepada remaja.

Drama sinetron tahyul dari seberang dan filem ganas dari Barat dilihat cukup mudah mempengaruhi minda penonton. Itulah yang sedang menjadi gaya dan trend ikutan muda mudi zaman sekarang.

Mereka mencontohi semua perlakuan dan gelagat yang ditonjolkan secara bulat-bulat dan sering menjadikannya sebagai panduan dalam hidup. Perbuatan yang dimulakan atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru akhirnya menjadi ketagih dan budaya yang sukar untuk ditinggalkan.

Fenomena ini sebenarnya adalah selaras dengan pandangan sarjana komunikasi yang bersetuju bahawa media seperti televisyen mempunyai pengaruh cukup kuat terhadap penonton. Ia dibuktikan melalui beberapa teori komunikasi terkenal. Magic Bullet Theory yang diperkenalkan Katz dan Lazarsfeld pada 1955 misalnya mengandaikan bahawa televisyen memberikan kesan negatif kepada penonton secara langsung dan segera seperti peluru dengan penonton cenderung untuk percaya semua perkara dilihat, sekali gus boleh mempengaruhi tingkah laku mereka.

Maka jika kita mengkaji secara mendalam segala masalah sosial hari ini dengan pengaruh televisyen ke atas remaja, ternyata andaian teori komunikasi itu ada kebenarannya. Ini membuktikan, menonton televisyen hari ini boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika tidak dikawal dengan sewajarnya.

Mengambil kira senario yang membahayakan ini, wajar untuk ibu bapa menyokong kempen ‘Minggu Tidak Menonton Televisyen’ anjuran Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yang berlangsung mulai 21 hingga 27 April ini.

Fomca juga mendedahkan, kajian dibuat pada 2005 membabitkan penggunaan peralatan berskrin seperti televisyen, komputer dan telefon bimbit mendapati golongan muda menghabiskan 73 peratus masa lapang mereka untuk menonton televisyen. Dilaporkan juga, kanak-kanak menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam sehari di depan televisyen masing-masing.

Justeru, ibu bapa perlu mengawal dan memberi perhatian serius kepada jenis rancangan ditonton anak mereka supaya tidak terdedah dengan rancangan yang boleh meruntuhkan akhlak dan moral.

Memang tidak dapat dinafikan kepentingan televisyen dalam hidup sebagai sumber maklumat, tetapi ia banyak bergantung kepada rancangan apa yang menjadi bahan tontonan seisi keluarga. Dalam hal ini, diharapkan kementerian dan Lembaga Penapisan Filem memainkan peranan lebih efektif untuk membendung penularan filem dan drama kurang sihat di negara ini.

Selain keruntuhan moral, ketagihan menonton televisyen banyak mendatangkan kesan buruk pada tahap kesihatan seperti kegemukan dan diabetes mula mengancam kerana kita terlalu pasif untuk suatu tempoh masa lama ketika di depan kaca televisyen.

Pembaziran masa begitu lama (tiga hingga lima jam sehari) di depan televisyen pastinya menjejaskan pelajaran anak. Mereka terlalu asyik menonton televisyen dan tidak mengulangkaji pelajaran mahupun menyiapkan kerja sekolah masing-masing. Akibatnya, prestasi akademik mereka terjejas.

Keruntuhan moral, masalah kesihatan dan pelajaran adalah antara kesan negatif secara langsung akibat kelalaian ibu bapa mengawal anak daripada terus menjadi hamba televisyen. Anak hari ini adalah generasi pewaris masa depan negara. Justeru, kelestarian pembangunan modal insan perlu dititikberatkan agar kita dapat melahirkan generasi yang bukan saja berilmu, tetapi kaya dari segi akhlak dan budi bahasanya.

Kita khuatir tabiat yang kurang sihat ini akan mula menjauhkan kita daripada anak kita, merenggangkan hubungan kekeluargaan sekali gus menghancurkan keharmonian keluarga kita.